BAHAN PENGAJARAN

Definisi bersuci :
Bersuci dalam istilah bahasa bererti membersihkan tubuh badan atau sesuatu dari kekotoran, sama ada kekotoran hissi atau maknawi.

Kekotoran hissi bermakna kekotoran yang boleh dicapai oleh deria seperti darah, muntah, najis dan lain-lain.

Kekotoran maknawi pula bermakna kekotoran yang tidak dapat dicapai oleh deria seperti berhadas kecil atau besar.

Hukum bersuci :
Bersuci hukumnya wajib apabila hendak mengerjakan ibadah solat. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Allah tidak menerima solat tanpa bersuci”
Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi

Hikmah bersuci :
  1. Allah kasih orang yang bersuci. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud:
    “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang bersuci.”
  2. Bersuci sebahagian daripada iman. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
    “Bersuci itu sebahagian daripada iman”
    Hadis riwayat Muslim
  3. Menghindarkan perasaan jijik.
  4. Menjaga kesihatan dan menghindari penyakit.
  5. Membezakan antara manusia dan haiwan.
  6. Suatu tanda keistimewaan agama Islam yang lebih menitikberatkan kebersihan bukan hanya zahir sahaja, malah hingga kepada kebersihan batin.
  7. Terpelihara maruah diri. Selain itu kebersihan dalam solat adalah suatu adab kesopanan terhadap Allah s.w.t yang Maha Agung.
Pembahagian-pembahagian jenis bersuci :
Terdapat 2 jenis bersuci yang dikehendaki oleh syarak, iaitu:
  1. Bersuci daripada najis zahir yang meliputi badan, pakaian dan tempat;
  2. Bersuci daripada hadas yang merupakan kekotoran maknawi yang ada pada badan sahaja.
Pembahagian jenis hadas :
  1. Hadas besar – berlaku dengan sebab keluar mani, bersetubuh, keluar darah haid, nifas, bersalin atau keguguran. Cara bersuci dari hadas ini ialah dengan mandi wajib.
  2. Hadas kecil – berlaku apabila batalnya wudhuk seperti kentut, buang air kecil dan besar, bersentuhan yang bukan muhrim. Cara bersuci dari hadas ini ialah dengan berwudhuk.
Alat-alat untuk bersuci terdiri daripada 4 jenis, iaitu:
  1. Air;
  2. Tanah untuk tayammum ketika tiada air atau tidak dapat menggunakan air bagi berwudhuk atau mandi wajib;
  3. Batu dan barang yang mempunyai sifat keras, suci, kesat dan dapat menanggalkan najis seperti kayu dan seumpamanya serta tidak dihormati pada hukum syarak, seperti makanan, tulang, buku-buku agama Islam dan apa-apa yang tersurat nama Allah, malaikat dan para nabi, untuk dibuat beristinjak.
  4. Bahan-bahan penyamak untuk mencuci kulit (belulang) haiwan yang mati selain anjing dan babi.

CARA MENYUCIKAN NAJIS